Selamat datang ke pariparipeliks punya belog! ;)

Dad's Birthday

Assalamualaikum

Selamat Hari Bapa kepada seluruh ayah di dunia!  

Terutama pada ayah aku yang sangat berjuang untuk beri kelengkapan yang rapi dalam diri aku dan keluarga. Aku kurang faham pada sesetengah remaja atau manusia yang membenci apa yang bapa mereka tetapkan. Bagi aku, aku punya bapa yang hebat. Dia tetap sabar dan kuat untuk menunggu sesuatu yang dia inginkan walaupun jelas tampak dimukanya wajah kecewa. Aku tahu rasa dan apa yang ayah fikirkan.

Dulu, aku pernah menangis kerana inginkan jaket biru yang agak mahal. Tapi ayah sanggup belikan walaupun masa tu kami sekeluarga kekurangan wang. Aku tahu semua tu tetapi disebabkan nafsu, semua tu aku lupa. Lepas beli, menyesal kerana aku jarang sekali pakai. Menyesal kerana membazir dan menyusahkan ayahku. 

Ayah bukan lelaki yang lupa pada tanggungjawabnya. Walaupun kadang gaji yang dia terima tidak mencukupi untuk menanggung aku sekeluarga, tapi dia tetap gigih untuk mencari wang untuk beri kepuasan dalam diri kami. Dan aku, terlalu bersyukur kerana diberi seorang bapa yang cekal dan tabah untuk menjaga kami sekeluarga. 

Jujur aku pernah rasa rimas dengan kongkongan yang diberi, namun aku sedar bukan cuma aku yang sering dia risaukan. Dia risau bila aku dan yang lain melakukan perkara yang merosakkan diri kami kerana dia lebih tahu pengalaman pahit manis di dunia. Dia takut bila kami bergaul dengan orang sembarangan kerana dia pernah tertipu dengan manusia hati busuk. Bila demam, ayah urut kaki kami dengan minyak masak dicampur dengan bawang. Katanya boleh mengurangkan panas di badan. Bawa kami sekeluarga ke carrefour dan jaya jusco tiap hari minggu walaupun tidak beli apapun. Cuma sekadar mengambil angin dan menyantai. Aku rindu waktu itu. 

Terima kasih ayah, kerana menyedarkan aku betapa hidup ini penuh dengan cabaran yang tidak diduga. Terima kasih beri aku kekuatan masa aku jatuh tersungkur di tengah jalan. Terima kasih bimbing aku ke arah yang lebih sempurna. Hanya Tuhan dapat membalas jasa dan pengorbananmu kerana menjaga kami selama ini. 

Ayah, lelaki yang tidak pernah mengalah dan kalah dalam menjaga makan pakai kami sekeluarga.

xoxo,
pariparipeliks

No comments:

Full Editing by Nadyya Shafiqa. ©Copyright Reserved Pariparipeliks.